Setiap bidang sukan akan dibarisi oleh legenda yang menjadi inspirasi peminat atau pemain sukan itu. Legenda ini ibarat candu yang mengkhayalkan, satu khayalan positif ke arah meningkatkan mutu sukan itu. Sukan bola sepak tidak terkecuali. Jika dilekatkan gambar-gambar legenda bola sepak sepanjang masa, nescaya ‘wall of fame’ itu tidak akan mencukupi. Setiap masa akan lahir legenda baru!
Namun berstatus legenda itu bukanlah satu jaminan bagi nama-nama besar dalam sejarah bola sepak dunia untuk terus jadi ‘legenda’ dalam bidang kejurulatihan. Ia ibarat satu seni yang berbeza!
Ini antara topik yang saya ingin sentuh kali ini. Perlu diingat bahawa langsung tiada niat untuk memperkecil atau menyinggung mana-mana pihak khususnya mereka yang berstatus legenda yang berterusan menjadi inspirasi kami. Saya harap nukilan ini menjadi satu perbincangan sihat yang diharapkan dapat membantu jurulatih muda faham dan sedar bahawa tidak semua pemain legenda adalah jurulatih yang baik dan tidak semua jurulatih yang terbaik adalah pemain legenda. Satu lagi keunikkan dunia bola sepak!
Secara profesionalism, kemenangan adalah kayu ukuran utama. Ukuran untuk menilai keberkesanan, kebolehan dan kekuatan seseorang jurulatih. Apatah lagi kos yang dilaburkan untuk seseorang jurulatih bukannya murah. Dalam era bola sepak profesional, baik di negara kita atau pun antarabangsa, mantan pemain berstatus legenda berleluasa membanjiri bidang kejurulatihan. Kelebihan mereka terlalu banyak berbanding yang lain, apatah lagi jika mereka ini pernah menjulang piala-piala utama bola sepak dunia sepanjang tempoh bergelar seorang pemain. Kelebihan yang sukar untuk dipertikaikan.
Namun dalam konteks bola sepak moden, pemilik kelab, barisan pengarah kelab dan para penyokongnya hanya mendamba kemenangan dan kemenangan! Ia seakan satu dunia berbeza, tidak kira anda berstatus legenda atau tidak, tanpa kemenangan anda harus bersedia menerima kritikan dan cemuhan dari pemain ke-12 ini. Reputasi atau status anda sebagai pemain legenda bisa terjejas! Cuma bezanya dipertaruhkan sedikit harapan kepada pemain berstatus legenda ini dalam konteks kejurulatihan memandangkan “mereka pernah melakukanya sewaktu berstatus pemain”.
Realitinya tidak semudah yang di sangka. Legenda tenis dunia, Borris Becker dalam biografinya mencatatkan bahawa; bekas pemain legenda sesuatu kelab faham akan permainan, tradisi kelab masing-masing dan kehendak penyokong mereka tetapi ia bukan satu alasan untuk menerajui kelab tersebut ke suatu tahap yang lebih tinggi.
Saya ingin menarik perhatian anda kepada satu kisah dua konglomerat media dunia iaitu Blockbluster dan Netflix. Pada tahun 1998, Blockbuster memiliki kira-kira 9,100 buah rangkaian peruncitan dan aset bernilai kira-kira US$4 bilion dolar. Netflix yang ditubuhkan pada tahun 2000, berhasrat untuk bergabung dengan Blockbuster, tetapi Blockbuster yang merupakan sebuah konglomerat dalam bidang media ketika itu, tidak berminat untuk bergabung dengan Netflix yang mempunyai aset sekitar US$50 juta dolar ketika itu. Menyedari situasi ini, Netflix berdikari dan berusaha untuk memajukan diri mengikut arus perkembangan teknologi berasaskan platform Wi-Fi dan jalur lebar (streamyx). Sepuluh tahun kemudian, Netflix yang bergerak mengikut arus perkembangan teknologi, telah berjaya mengumpul aset sebanyak US$152 bilion dolar. Manakala, Blockbuster yang beroperasi menggunakan kaedah lama telah jatuh muflis dan hanya memiliki satu rangkaian peruncitan sahaja di Amerika Syarikat. Terbukti perubahan dan hijrah adalah ramuan terbaik untuk berjaya! Blockbuster dan Netflix antara kisah klasik dalam mengiyakan situasi ini.
Maka, pemain legenda yang menjadi buah mulut peminat tempatan akan hilang dari kancah permainan masing-masing seperti konglomerat media Blockbuster ini sekira mereka tidak sanggup berhijrah ke alam bola sepak moden. Contoh terbaik adalah Michael Voss yang merupakan legenda ragbi dunia dari Australia. Sebagai pemain, beliau cukup cemerlang, memenangi segala jenis piala yang dipertandingkan termasuk dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia. Namun berstatus seorang jurulatih tidak menjanjikan kecemerlangan pencapaian sebagai mana dirinya berstatus seorang pemain. Begitu juga dengan legenda bola sepak Diego Maradona, di puja sebagai dewa oleh peminat bola sepak Argentina ketika menjuarai Piala Dunia 1986, namun adakah beliau berjaya sebagai seorang jurulatih kebangsaan sewaktu Piala Dunia 2010? Tepuk dada tanya selera!
Justeru ingin saya tegaskan bahawa bermain dan melatih adalah dua perkara yang sangat berbeza. Lazimnya pemain legenda di anggap pewaris takhta di sesebuah kelab atau negara. Tetapi setakat ini, tiada bukti kukuh yang menunjukkan pemain legenda sahaja yang boleh melatih sesebuah pasukan dengan cemerlang. Contoh terbaik adalah Sir Alex Ferguson, Arsene Wenger, Gerard Houlier, Jose Mourinho dan yang terbaru Jurgen Klopp. Kesemua mereka ini bukan pemain berstatus legenda, tetapi mereka telah meletakkan diri mereka sebagai jurulatih yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Namun demikian, ada juga bekas pemain bertaraf bintang, legenda yang telah berjaya dalam bidang kejurulatihan. Nama-nama seperti Johan Cruyff, France Bakenbaur, Zinadine Zidane dan Pep Guardiola antaranya. Kesemua legenda ini memang terbaik sebagai pemain dan jurulatih. Adakah kejayaan kejurulatihan mereka hasil dari pengalaman sebagai pemain sahaja? Atau kerana mereka sanggup berhijrah ke dunia bola sepak moden? Fikir fikirkan! Saya pasti intipati ilmu kejurulatihan telah di tambah aduk dengan pengalaman mereka sebagai bekas pemain.
Kita lihat legenda pemain tengah Perancis Zinedine Zidane. Beliau menjuarai Champions League sebanyak tiga kali bersama Real Madrid. Begitu juga menjulang Piala Dunia dan Piala Eropah bersama pasukan kebangsaannya. Namun tahukah kita sebelum Zidane menjadi jurulatih utama Real Madrid, beliau telah ‘berguru’ selama enam bulan bersama Pep Guardiola di Bayern Munich. Adakah kesemua pemain legenda sanggup berguru seperti Zinedine Zidane? Tepuk dada tanya selera! Pep Guardiola, bukan calang-calang pemain dan jurulatih. Sentuhan beliau mengubah pasukan Barcelona menjadi pasukan raksaksa dalam dunia bola sepak moden adalah sesuatu yang tidak dilupakan. Maka, titik-tolak kejayaan Real Madrid antara lainnya adalah hasil ‘perguruan’ yang diterima oleh Zidane ini.
Berada di barisan legenda bukannya sesuatu yang mudah. Pelbagai pengorbanan dilalui sebelum bergelar legenda. Negatifnya apabila segelintir mereka ini dipakejkan dengan keegoan diri! Keegoan inilah yang meranapkan impian untuk berjaya dalam bidang kejurulatihan. Contohnya, Gary Neville dari Manchester United. Beliau telah bermain lebih 500 kali untuk Manchester United dan memenangi kesemua piala yang dipertandingkan. Setelah bersara, beliau menjadi pengulas sukan bersama SKY TV. Beliau tidak pernah berguru dengan sesiapa untuk menjadi seorang jurulatih. Dari bidang pengulasan, beliau yang berbekalkan ilmu sebagai pemain di bawah Sir Alex Ferguson, telah dilantik sebagai ketua jurulatih kelab Valencia di Sepanyol. Namun Neville hanya bertahan lebih kurang enam bulan sahaja sebagai ketua jurulatih. Justeru persediaan amat penting. Dan perlu diingat bahawa pemain legenda atau pengalaman bermain peringkat tertinggi bukan tiket untuk berjaya dalam bidang kejurulatihan.
Pengalaman beraksi di peringkat tinggi memang membantu khusus dari sudut sports specific atau ertikata lain “teknik dan taktik” permainan bola sepak. Tetapi pengalaman “teknik dan taktik” sahaja tidak memadai bagi seseorang jurulatih untuk terus berjaya dalam industri kejurulatihan profesional.
Bola sepak moden lebih dari sekadar teknik dan taktik. Pelbagai ramuan lain yang perlu ditambah untuk mengukuhkan pembentukan sesebuah pasukan yang mantap. Seseorang jurulatih perlu mahir dalam latihan pra musim (periodization), latihan sewaktu musim berlangsung (in season) dan setelah tamat musim (off-season). Di mana, pemain perlu berehat untuk recharge battery masing-masing bagi menghadapi musim seterusnya. Perancangan dan penelitian terperinci berkenaan latihan harian, mingguan, bulanan dan tahunan perlu untuk menerajui sesebuah pasukan. Fahaman yang ingin diterapkan di sini adalah, belajar dan mengajar adalah dua paksi yang berbeza.
Jadual harian dalam kehidupan seorang pemain professional merupakan masalah dan punca utama berlakunya perubahan dalam kerjaya sebagai jurulatih. Semasa menjadi pemain, seseorang pemain hanya datang bermain mengikut arahan jurulatih dan balik bagi meneruskan kehidupan lain sebagai seorang suami, ayah atau sahabat. Manakala, kerjaya jurulatih bukan seperti seorang pemain. Jurulatih perlu meluangkan masa yang tidak terhad untuk merancang, melatih, memantau setiap pemain dalam pasukan dan mengatur strategi sebelum berdepan pasukan lawan.
Sir Alex Ferguson dalam biografinya, menyatakan bahawa beliau hanya tidur empat jam sehari. Manakala, anak Arsene Wenger mengakui bahawa dia melihat ayahnya seminggu sekali atau dua minggu sekali sahaja. Ini bermaksud, kesanggupan dan pengorbanan seorang jurulatih yang tidak kenal penat mencari ilmu menjadi ramuan tambahan dalam membentuk keperibadian seorang jurulatih. Jurulatih harus melabur masa melebihi putaran jam untuk membentuk sesebuah pasukan yang mantap.
Gambar di atas menunjukkan percanggahan pemikiran kognitif yang menyebabkan kebanyakkan pemain legenda gagal dalam bidang kejurulatihan. Sewaktu menjadi pemain, dua atau tiga dekad dahulu pemain telah di latih dengan cara yang sungguh berbeza. Maka percanggahan pemikiran kognitif ini bersemadi dalam pemikiran dan kekal sehingga pemain itu bergelar jurulatih. Agak sukar bagi jurulatih menerima pembaharuan, tetapi nothing is impossible….. Tindakan terbaik yang boleh lakukan adalah dengan menyertai kursus-kursus untuk melengkapkan diri dengan ilmu bola sepak terkini, dan mengubah suai latihan mengikut arus perubahan. Jika pemain legenda masih berdegil dengan mengatakan mereka mempunyai sentuhan ajaib maka hidup sebagai jurulatih akan menjadi lebih sengsara.
Dalam kancah bola sepak tempatan, jurulatih Mohd. Azraai Khor, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan Irfan Bakti serta ramai lagi antara pemain kebangsaan yang mengukir nama sebagai legenda jurulatih tempatan. Saya sebagai salah seorang jurulatih, sedia maklum bagaimana Azraai Khor yang masih ingin belajar selepas memenangi double treble pada musim 2008 dan 2009 bersama Kedah, dan sanggup menghadiri kursus kejurulatihan bersama jurulatih terkenal dunia Gerard Houllier pada tahun 2010. Persoalannya, adakah jurulatih lain boleh dan mahu berkursus setelah ditabal jurulatih terbaik? Jika jawab “YES” syabas kepada mereka kerana bersikap alah padi. Bila padi masak ia tunduk. sewaktu di ambang kemeriahan, Azraai Khor sanggup meneruskan pencarian ilmu dan sikap ini menjurus jalan memenangi satu lagi kejuaraan Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan pada tahun 2011.
Para jurulatih sekalian, untuk menjadi seorang jurulatih yang gilang-gemilang dan terbilang tidak semestinya anda tergolong dalam kalangan legenda, tetapi sikap ingin belajar dan sedia berubah mengikut arus perubahan adalah kunci dan ramuan kejayaan. Ong Kim Swee dan K.Rajagobal misalnya. Kedua-dua legenda ini tidaklah sehebat Zainal Abidin Hassan atau Dollah Salleh sewaktu bergelar seorang pemain, namun dengan usaha, kegigihan dan kerajinan, mereka telah mengukir nama sebagai jurulatih terbaik di Asia Tenggara dan dianugerahkan gelaran “Datuk” di atas pencapaian masing-masing. Mantan jurulatih Itali, Arrigo Sacchhi pernah berpujangga; I never realised that to become a jockey you needed to be a horse first!
Akhir kata, kejayaan seseorang jurulatih tidak terletak pada kecemerlangannya bergelar seorang pemain legenda. Namun sikap ingin maju dan kecanduan untuk terus menimba ilmu itu adalah ramuannya. Sekiranya semua jurulatih sanggup menimba ilmu dan mengembangkan ilmu kejurulatihan dari semasa ke semasa maka mereka boleh mencapai kejayaan sebagaimana yang dikecapi oleh Datuk K. Rajagopal, Dato’ Ong Kim Swee, dan The Legend Azraai Khor.
Nukilan,
Coach Veloowin